Tag Archives: Datuk Dr Haron Din meninggal dunia

Haron Din Meninggal Dunia

Harun Din meninggal

Harun Din meninggal

Pagi-pagi ni terkejut dengan berita tentang Haron Din telah meninggal dunia. Baru jer baca pasal dia dimasukkan ke hospital disebabkan ada masalah jantung, tak lama kemudian dapat tahu dia dah meninggal.

Semoga roh allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al Fatihah……

Di bawah ni aku share berita yang aku dapat dari whatsapp tadi.

BANGI, Jumaat – Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din meninggal dunia ketika menjalani rawatan akibat kompilasi jantung di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California, jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia.

Kenyataan sedih itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi ‘Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Official)’ sebentar tadi.

Kenyataan itu menyebut:

“Assalamualaikum. Sesungguhnya Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi.”

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, turut memuat naik pengumuman sama dalam laman Facebook beliau.

Allahyarham Haron Din, 76, terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan sejak beberapa jam lalu selepas berlaku pendarahan di dalam badan ketika pihak hospital melakukan angiogram dan berada dalam keadaan ‘brain death’.

Pada April 2012 lalu, Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital sama.

Mac lalu, Allahyarham turut mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

BELASUNGKAWA

Biodata Datuk Dr Haron Din (Dipetik dari www.darussyifa.org)

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan.

Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.

Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965).

Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa
Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
• Timbalan Mursidur Am PAS

Pilihan raya

Dalam pilihan raya umum 2004 , Ustaz Haron Din yang mewakili Parti Islam SeMalaysia mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Pencabarnya , Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasional mendapat undi: 17,367 . Syed Razlan telah diisytiharkan menang pilihan raya tahun 2004 . Majoriti-diperolehi: 3,243 , Jumlah Undi: 32,024, Undi Rosak : 533; Peratus Mengundi: 84.23%